Panduan Pencegahan Jenayah


Kebelakangan ini, kes-kes jenayah dilihat semakin membimbangkan di negara kita. Walaupun pada dasarnya indeks jenayah negara telah menampakkan penurunan seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan, hakikatnya sekarang adalah kita dihantui oleh kes-kes jenayah kejam. Setuju atau tidak, jenayah yang berlaku kebanyakkan adalah berpunca dari diri kita sendiri. Maksudnya disini, jenayah berlaku kerana adanya peluang dari sikap tidak ambil peduli dalam diri kita.

Jangan tunggu sehingga diri sendiri atau keluarga menjadi mangsa baru hendak buka mata dan jangan pula menyesal bila sudah jadi mangsa. Sebenarnya terdapat banyak tip atau panduan pencegahan jenayah dapat kita perolehi di internet, tip dan panduan ini sangat berkesan untuk diamalkan hatta diajar kepada anak isteri.

Berapa ramai disini yang selalu atau pernah melawat laman web PDRM? tak ramai bukan, berapa ramai disini yang memaklumkan kepada pihak polis apabila meninggalkan rumah untuk cuti panjang? Sebenarnya, perkara-perkara begini wajib kita ambil tahu.

Oleh yang demikian, dibawah ini disalin semula senarai panduan pencegahan jenayah yang disarankan oleh PDRM sepertimana yang terkandung di laman web mereka.

PECAH RUMAH

CARA MENCEGAHNYA:

Perlindungan SECARA FIZIKAL
  • Pasangkan 'door viewer', penyelak pintu utama.
  • Pintu utama perlu diperbuat dari bahan yang kukuh dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti.
  • Pasangkan pagar besi berkunci pada tingkap rumah anda.
  • Simpan tangga dan alat-alat di tempat yang selamat supaya penceroboh tidak menggunakan ia untuk memasuki rumah anda.
  • Potong ranting-ranting pokok dan semak-samun sepanjang pagar rumah anda yang membolehkan penceroboh menyembunyikan diri di halaman rumah anda.
  • Pasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal halaman serta boleh mengesan penceroboh.
Langkah berjaga-jaga
  • Kuncikan pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah anda walaupun untuk masa yang singkat.
  • Jangan sembunyikan kunci di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga atau di atas kotak meter elektrik di luar rumah anda.
  • Jangan meninggalkan nota yang menyatakan ketiadaan anda di rumah.
  • Gantikan semua kunci apabila kunci rumah anda hilang atau dicuri.
  • Hentikan hantaran (contoh: surat khabar) apabila anda tiada di rumah untuk beberapa hari.
  • Biarkan radio terpasang di waktu malam untuk mewujudkan suasana rumah yang berpenghuni.
  • Simpan wang tunai di bank dan barang kemas anda dalam peti simpanan keselamatan.
  • Minta tolong jiran sebelah rumah anda untuk tengokkan rumah anda sepanjang ketiadaan anda di rumah.

PENYELUK SAKU

Cara untuk menghindari penyeluk saku:
  • Elakkan dari membawa wang tunai secara terbuka di khalayak ramai. Anda boleh membeli melalui internet atau menggunakan kad kredit.
  • Silangkan beg anda di hadapan supaya anda mudah untuk memerhatikannya. Pastikan ia telah dikunci atau dizipkan.
  • Jangan tinggalkan beg tangan anda di atas bakul atau troli di pusat membeli-belah.
  • Periksa beg duit atau beg tangan jika seseorang menghimpit atau melanggar anda.
  • Jangan tertipu oleh orang yang tidak dikenali yang cuba berbuat baik dengan anda tanpa sebarang sebab.
  • Jangan tidur dalam bas atau LRT dan pastikan beg anda dijaga rapi.

KECURIAN KENDERAAN

TEMPAT-TEMPAT DI MANA KECURIAN BERLAKU:
  • Tempat letak kereta awam, kompleks membeli-belah, di depan rumah, tepi jalan raya dan tempat letak kereta di hotel menjadi tempat yang sering berlakunya jenayah ini.
CARA-CARA UNTUK MENCEGAH KECURIAN KERETA:
  • Pastikan kereta dipasang dengan alat penggera yang baik.
  • Memasang kunci tambahan untuk stereng, gear, roda dan kelac.
  • Pastikan juga kereta sentisa dikunci.
  • Sentiasa letak kereta di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang/berlampu.
  • Jangan serah kunci kepada 'jockey' kereta.
  • Mengukir nombor pendaftaran di cermin kereta (Sand Blasting)
CARA-CARA UNTUK MENGHALANG KECURIAN MOTOSIKAL:
  • Letak motosikal di tempat yang dikhaskan.
  • Pastikan anda mengunci motosikal ketika meninggalkannya.
  • Letakkan di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat terang/berlampu.
  • Merantai dan menggunakan kunci tambahan adalah penting untuk mengelak motosikal dari dicuri.
  • Ukirkan nombor pendaftaran motosikal pada bahagian-bahagian penting.

RAGUT

Di manakah peragut dan penyeluk saku bertindak:
  • Peragut sering bertindak di jalan atau lorong yang gelap atau sunyi.
  • Lazimnya peragut menggunakan kenderaan seperti motorsikal atau kereta untuk melakukan kegiatan mereka.
Bagaimana ia boleh belaku:
  • Memakai barang-barang kemas yang sangat ketara dan mendedahkannya untuk tontonan orang ramai.
  • Membawa beg tangan dengan cara memudahkan peragut meragut.
  • Berebut-rebut semasa menaiki bas atau berada di tempat-tempat sibuk dan sesak.
  • Meninggalkan beg-beg yang berisi wang di kaunter pintu masuk pusat membeli-belah semasa masuk membeli-belah.
  • Menyimpan beg duit di kocek-kocek belakang yang tidak berbutang.
langkah-langkah keselamatan dari ragut:
  • Sentiasa membawa wang secara minima.
  • Selindung wang daripada pandangan umum supaya tidak menarik perhatian penjenayah.
  • Sentiasa membimbit atau mengepit beg tangan dan tidak disangkut atau disandang pada baju supaya ia lebih sukar diragut dan jika diragut boleh mengelak dari berlaku kecederaan kerana diseret.
  • Elakkan dari berjalan seorang diri di tempat-tempat sunyi atau semasa menaiki lif.
  • Jangan mendedahkan barang-barang kemas yang dipakai.
  • Ketika berjalan di atas jalanraya, sentiasa berjalan secara bertentangan dengan arus lalulintas supaya dapat melihat apa jua kenderaan yang datang dari arah hadapan. Beg tangan pula dikepit atau dibimbit dengan tangan kanan.
  • Elakkan dari memakai barang-barang kemas secara berlebihan yang boleh menarik perhatian penjenayah.
  • Elakkan dari meletak beg tangan yang mudah dicapai oleh orang lain umpamanya di atas kaunter, di dalam bakul pasar dan sebagainya.
  • Memasang alat penggera pencegahan ragut pada beg tangan.

ROGOL

Cara-cara mengelak dari kejadian rogol:
  • Mengawasi ahli keluarga yang kurang siuman atau kebodohan supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.
  • Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.
  • Memberi pendidikan agama dan moral tentang dan kemudaratan perbuatan persetubuhan haram.
  • Mengawasi dan memantau pergaulan anak-anak dan memastikan mereka tidak melebihi batas.
  • Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau singseh. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi satu penipuan.
  • Tidak mudah mempercayai janji untuk berkahwin dengan menyerah kehormatan diri.
  • Tidak mudah menurut pelawaan orang-orang yang tidak atau baru dikenali untuk makan, minum, bersiar-siar atau pergi ke bilik/rumah mereka.
  • Terlebih dahulu minta dan semak kad kuasa orang yang mengaku sebagai penjawat awam seperti polis atau pegawai pencegah maksiat sebelum mengikut arahan mereka.
  • Elakkan dari berjalan bersendirian di tempat-tempat gelap, sunyi atau terpencil. Jika perlu pergi juga, pastikan anda berteman.
  • Membawa alat penggera peribadi amat disyorkan.
  • Sentiasa berwaspada dengan makanan dan minuman yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.
  • Berwaspada apabila melihat orang yang mencurigakan di sekitar kawasan kemudahan awam seperti tandas, stesen bas, lif dan sebagainya.
  • Ketika hendak gunakan kenderaan awam, pastikan ada penumpang wanita lain bersama.
Mengatasi ancaman rogol:
  • Undang-undang membenarkan hak untuk mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.
  • Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau diserang.
  • Jangan lakukan tindakan yang terburu-buru.
  • Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan tangan atau kaki atau sebarang benda yang ada pada anda seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.
  • Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.
  • Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.

ROMPAK/SAMUN

ROMPAKAN DI RUMAH
  • Pastikan pintu pagar atau pintu utama dikunci sepanjang masa.
  • Jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
  • Kenal pasti pelawat melalui 'door viewer' dan pastikan rantai kunci pintu berkunci apabila bercakap dengan pelawat yang tidak dikenali.
  • Maklumkan kepada ahli keluarga terlebih dahulu jika anda menyuruh kawan atau seseorang ke rumah anda.
ROMPAKAN di tempat awam
  • Berwaspada apabila ada orang yang tidak dikenali mengekori anda atau yang berpeleseran di kawasan lif.
  • Elakkan dari menaiki lif dengan orang yang mencurigakan.
  • Aturkan seseorang untuk menemani anda pulang ke rumah.
  • Apabila anda dalam lif, sentiasa berdiri berdekatan dengan panel kawalan lif. Ini membolehkan anda mengawal lif jika berlaku perkara yang tidak diingini.
  • Elakkan dari memakai barang kemas atau membawa wang tunai yang banyak.
  • Rancang perjalanan anda dan elakkan dari melalui tempat gelap atau sunyi.
  • Berhati-hati dengan orang yang mencurigakan yang sentiasa berpeleseran di lif, tangga, kaki lima dan di kawasan awam.
  • Bawa alat penggera bersama anda dan gunakan ia untuk mencegah perompak atau untuk menarik perhatian orang yang berdekatan.
Apa perlu dilakukan apabila anda dirompak.
  • Anda perlu bertenang.
  • Jangan bertindak jika perompak berkenaan mempunyai senjata.
  • Perhatikan gerak-geri perompak seperti perwatakan, air muka, pakaian, tingkah laku pergerakan dan keterangan fizikal yang lain. Ia boleh membantu polis untuk mengesan perompak berkenaan.
  • Perhatikan juga ke mana arah dan cara perompak itu melarikan diri. Jika ia menggunakan kenderaan, rekodkan nombor pendaftaran, warna kenderaan, dan jenis kenderaan. Pastikan juga ke arah mana ia pergi.
  • Hubungi polis di nombor 999 atau hubungi Balai Polis berdekatan dengan segera.
P/S : Perkara terakhir yang harus dilakukan adalah TAWAKAL.

Comments :

0 comments to “Panduan Pencegahan Jenayah”

Post a Comment

- Anda bertanggungjawab sepenuhnya keatas komen anda
- Pihak kami berhak mengedit atau padam komen-komen yang dianggap keterlaluan.
- Tolong jangan mainkan isu politik dan perkauman
- Komen mengandungi iklan juga akan dipadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...