Pensyarah Dicekup Bersama Bekalan Dadah

Cubaan seorang pensyarah wanita warga asing dipercayai membawa bekalan dadah dengan menaiki sebuah bas ekspres menuju selatan tanah air gagal apabila dicekup polis di tepi jalan berdekatan Plaza Tol Seremban, di sini, awal pagi kelmarin.

Perbuatan berkenaan terbongkar dalam serbuan khas dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kira-kira jam 5.30 pagi.

Timbalan Ketua JSJN Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Yahya Othman berkata, berdasarkan hasil maklumat awam, pihaknya segera bertindak menahan bas berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Sejurus bas itu berhenti di tepi jalan, kami berjaya mengesan wanita asing berusia 50-an yang mengaku bekerja sebagai tenaga pengajar teknik animasi di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.


“Hasil pemeriksaan terhadap beg pakaian dibawanya menemui 12 ketulan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 12.5 kilogram.


“Mengikut harga pasaran, nilai dadah itu kira-kira RM50,000 dan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurutnya, wanita berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.


“Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek tetapi didapati negatif,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pembabitan wanita berkenaan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang dan Seremban.

Comments :

0 comments to “Pensyarah Dicekup Bersama Bekalan Dadah”

Post a Comment

- Anda bertanggungjawab sepenuhnya keatas komen anda
- Pihak kami berhak mengedit atau padam komen-komen yang dianggap keterlaluan.
- Tolong jangan mainkan isu politik dan perkauman
- Komen mengandungi iklan juga akan dipadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...